HomeGaya HidupAjar anak puasa, ini tips penting buat ibu bapa

Ajar anak puasa, ini tips penting buat ibu bapa

PEMBUKAAN sesi persekolahan diiringi dengan kedatangan bulan Ramadan pada minggu lalu, sudah semestinya menjadi ujian buat murid-murid sekolah.

Kesabaran semakin diuji apabila Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang memaklumkan bahawa, cuaca panas ketika ini dijangka kekal hingga pertengahan April depan.

Khamis minggu lalu, seorang wanita menerusi hantaran di laman Facebooknya berkongsi mengenai keadaan seorang kanak-kanak yang terbaring di atas lantai sebuah sekolah.

Kanak-kanak tersebut dipercayai keletihan akibat berpuasa ditambah pula dengan cuaca panas.

Menurut Sha Hariri, perkara itu disedari ketika dia sedang menjemput anaknya pulang dari sekolah.

“Semasa tunggu anak balik sekolah dekat tempat menunggu, ada seorang anak datang baring dekat kaki saya.

“Dia letak beg, lempar tudung dan terus baring tidur. Saya kutip tudung dan berdiri di samping dia, sampai anak saya datang.

Tangkap layar hantaran tular di laman Facebook wanita berkenaan.

“Siap pesan dekat ‘pak guard‘ (pengawal keselamatan) untuk tolong tengok-tengokkan dia sampai ibu bapanya datang. Kasihan penat, cuaca panas sekarang. Cubalah ambil (jemput) anak secara awal kalau boleh.

“Bersabar deh lako. Waktu sahur, saya galakkan anak-anak makan buah dan minum air banyak,” tulisnya.

Prihatin dengan perkara itu, Pakar Pediatrik dan Kardiologi, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata bahawa, tiada salahnya jika ibu bapa mahu menggalakkan anak masing-masing supaya belajar berpuasa.

Namun, beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan terhadap si kecil ketika melakukan ibadah tersebut.

Dr Zulkifli

Beliau antara lain menyarankan ibu bapa supaya tidak memaksa anak-anak untuk berpuasa, sekiranya mereka masih belum bersedia selain memastikan mereka mengambil air dan makanan berkhasiat ketika sahur.

“Ibu bapa boleh menasihati anak masing-masing untuk berbuka puasa pada bila-bila masa sekiranya mereka tidak tahan berpuasa.

“Nasihat anak jika mereka buka puasa kerana tak tahan, jangan dengar kata-kata kawan-kawan atau murid-murid lain di sekolah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Selain itu, beliau menyarankan para guru untuk memberi nasihat kepada murid-murid berhubung ibadah puasa sebenar.

Malah, katanya, guru juga perlu meyakinkan murid-murid bahawa tidak menjadi satu kesalahan sekiranya mereka mahu berbuka puasa ketika tidak dapat menahan lapar atau dahaga.

“Perhatikan jika ada kes murid-murid lain yang mengejek murid yang buka puasa dan beri nasihat serta pengajaran yang sesuai,” katanya.

Malah, Dr Zulkifli turut menasihatkan supaya tidak membiarkan murid berada di luar bangunan ketika matahari terik dalam tempoh lama.

Tidak sekadar itu, katanya, pihak sekolah juga tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan dalam tempoh lama sama ada di luar mahu pun di dalam dewan yang panas tanpa kipas atau penyaman udara.

“Aktiviti ko-kurikulum di luar dan pelajaran jasmani juga memerlukan pemantauan supaya guru mengenali murid-murid yang kelihatan kurang sihat atau kekurangan air.

“Pada masa ini, cuaca memang amat panas. Dehidrasi senang berlaku lebih-lebih lagi pada kanak-kanak. Secara kebetulan juga masa ini bulan Ramadan,” tambahnya.

Terdahulu, semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota pelaksana memakai pakaian sukan sopan ketika cuaca panas.

Menurut KPM, kebenaran khas itu berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa di institusi masing-masing.

Author

Pilihan Editor