HomeBeritaIsu gaji guru PASTI: PAS buka ruang penambahbaikan

Isu gaji guru PASTI: PAS buka ruang penambahbaikan

CYBERJAYA: Tekanan yang dibuat terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SMITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) sejak kebelakangan ini tidak akan melunturkan semangat perjuangan kepimpinan dan ahli PAS.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tekanan tersebut mengingatkan parti itu mengenai erti sunnatullah dalam perjuangan yang penuh mehnah.

Menurutnya, PAS tidak pernah bebas daripada sebarang tekanan dan gangguan, malahan, bekas Mursyidul Am PAS, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menerima ujian dan cercaan pihak yang tidak sealiran dengan mereka.

“Sekuat mana pun ujian dan gangguan, PAS semakin membesar dan matang di persada negara. PAS sentiasa menjadi rujukan oleh kebanyakan ilmuwan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, tular memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia mengenai satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap PASTI selain SRITI dan SMITI, yang didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Susulan itu, pelbagai pihak memberi reaksi termasuk meminta agar isu berkaitan gaji kakitangan di pusat pendidikan seliaan PAS itu diteliti semula.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS mengalu-alukan sebarang saranan dan sentiasa membuka ruang mengenai penambahbaikan institusi berkenaan.

Beliau berkata, institusi tersebut merupakan jihad pendidikan parti itu demi kepentingan negara.

“Dengan bantuan Allah SWT, ia diterima baik kebanyakan masyarakat.

“Saya amat bersyukur dan gembira melihat guru-guru PASTI yang komited memberikan jiwa raga untuk mendidik anak-anak di PASTI. Kebajikan mereka tetap mendapat perhatian PAS,” tambahnya.

Menerusi hantaran sama, Tuan Ibrahim turut berkongsi beberapa keping gambar sekitar majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan bersama guru PASTI di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Author

Pilihan Editor