HomeBeritaKPDN nafi subsidi tepung gandum ditamatkan - Fuziah Salleh

KPDN nafi subsidi tepung gandum ditamatkan – Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan penamatan pemberian subsidi tepung gandum bernilai RM40 juta.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, peruntukan itu sebaliknya dialihkan ke butiran perbelanjaan program Payung Rahmah yang membabitkan dana keseluruhan sebanyak RM200 juta.

“Pada Bajet 2023, ada butiran 040600 iaitu subsidi tepung gandum kegunaan am RM40 juta, manakala pada Bajet 2024, butiran ini tiada dan ditanya dalam dewan oleh semua ahli-ahli Yang Berhomat.

“Ketika itu saya menggulung (perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024) peringkat Jawatankuasa (bagi KPDN). Semak hansard (penyata rasmi), sebab saya ada jawab, saya ingat Rasah (Cha Kee Chin) yang bertanya. RM40 juta itu ada, tetapi di bawah butiran Payung Rahmah.

“RM200 juta untuk Payung Rahmah itu termasuk RM40 juta untuk tepung. Itu ulasan daripada Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dana bernilai RM40 juta bagi pemberian subsidi barang itu tidak pernah dituntut, sebelum ini.

“Sudah beberapa tahun ia tak pernah dituntut kerana tiada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am, dan rakyat pun tak pernah minta, yang keluar tepung pelbagai cap,” katanya lapor Buletin TV3.

Author

Pilihan Editor