HomeSukanTolak tawaran CGF, Malaysia dapat elak beban anjur Sukan Komanwel

Tolak tawaran CGF, Malaysia dapat elak beban anjur Sukan Komanwel

CYBERJAYA: Keputusan kerajaan untuk menolak tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026 adalah bertepatan dengan pandangan majoriti rakyat.

Antara yang bersetuju dengan keputusan itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tawaran tersebut dibuat dalam jangka masa terlalu singkat serta tanpa kajian menyeluruh.

Beliau berkata, dua perkara tersebut perlu dititikberatkan bagi memastikan penganjuran temasya berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik dan mendatangkan manfaat kepada negara.

“Paling penting ialah bagi mengelak negara mengalami bebanan yang berat sesudah penganjuran,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Ahmad Faizal

Pada masa sama, beliau yang pernah menggalas jawatan nombor satu di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula 30 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022 itu berharap agar, kerajaan dapat memberi fokus kepada pelbagai masalah yang membelenggu rakyat ketika ini.

“Ini termasuk kos sarah hidup tinggi, kedudukan nilai Ringgit lemah serta pelbagai isu berkaitan ekonomi negara, yang sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, KBS mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran CGF sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang mengambil keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah apabila Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta (RM1.17 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.

 

 

Author

Pilihan Editor