JERANTUT: Seorang wanita cedera dihempap papan tanda yang tercabut diterbangkan angin kencang dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Tok Gajah pada Sabtu.
Mangsa yang dikenali sebagai G Muniammah, 57 tahun mengalami lebam di mata dan dahi akibat kejadian terbabit.
Difahamkan, video yang memperlihatkan kejadian menimpa pekerja syarikat pembersihan Alam Flora itu tular di media sosial selepas dikongsi netizen dan mendapat perhatian pihak polis.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azman Mat Kamis berkata, kejadian menimpa pekerja syarikat pembersihan Alam Flora itu berlaku kira-kira jam 5 petang dalam keadaan cuaca hujan lebat dan angin kencang, lapor Sinar Harian.
Menurut Azman, ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal melepasi lampu isyarat hijau di persimpangan lampu isyarat terbabit.
Namun siapa sangka, secara tiba-tiba sebuah papan tanda iklan tercabut akibat ditiup angin kencang sebelum menghempap mangsa.
Susulan iu, mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk menjalani rawatan lanjut selepas kejadian.
‘Pihak keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian, bagaimanapun siasatan lanjut tidak dijalankan kerana kejadian disebabkan bencana dan bukan kemalangan jalan raya,” kata Azman dalam satu kenyataan pada Ahad.