HomeBeritaPenduduk tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar waktu solat Tarawih

Penduduk tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar waktu solat Tarawih

KUALA LUMPUR: Kebakaran melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Pandan India Settlement semalam menyebabkan kesemua mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar 9.45 malam tadi semasa mereka sedang solat Tarawih, malam tadi.

Salah seorang mangsa, Ghafur yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) antara penduduk yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran itu.

Turut terkesan, beberapa keluarga terdiri daripada warga tempatan apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran itu.

Lelaki berusia 40-an itu yang bekerja dalam sektor pembersihan itu berkata, dia tinggal menyewa di kawasan setinggan itu sejak empat bulan lalu.

“Ketika kejadian, kami sedang solat Tarawih pada rakaat kelapan kemudian baru sedar rumah sedang terbakar.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan peribadi, tetapi saya bersyukur kerana saya dan rakan serumah semuanya selamat,” katanya lapor Harian Metro.

Kawasan tersebut dikatakan sudah mula didiami oleh keluarga warga tempatan berbangsa India sejak beberapa dekad lalu.

Menurut penduduk di situ, beberapa rumah setinggan di situ mula didiami individu warga asing sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Mustafa Kamal Mohd Arih berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira 15 rumah setinggan musnah dalam kebakaran itu.

Menurutnya, dua bengkel turut terbabit dalam kebakaran itu di mana salah satu daripadanya musnah terbakar.

“Kami terima panggilan jam 9.51 malam dan jentera dari BBP Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak, BBP Cheras dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran rumah setinggan membabitkan 15 unit rumah dan tiada mangsa yang terbabit,” katanya.

Katanya, pihak forensik sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Author

Pilihan Editor