HomeBeritaProgram Reptriasi Migran benar PATI pulang negara asal secara sukarela

Program Reptriasi Migran benar PATI pulang negara asal secara sukarela

PUTRAJAYA: Pendatang asing tanpa izin (PATI) dibenarkan untuk pulang ke negara asal secara sukarela menerusi Program Reptriasi Migran yang dilaksanakan mulai Jumaat sehingga 31 Disember depan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut akan membantu mengurangkan jumlah keberadaan PATI di negara ini serta mengimbangi elemen keselamatan serta menjana ekonomi negara.

Tambahnya, PATI yang menyertai program itu tidak akan disiasat atau diambil tindakan oleh Jabatan Imigresen walaupun memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, tinggal lebih masa di negara ini atau melanggar syarat pas lawatan yang sebelum ini dikeluarkan kepada mereka.

“Semua majikan yang terkait dengan isu itu digesa untuk mempercepat kemasukan pekerja asing yang diluluskan dan pada masa sama memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat dan undang-undang perburuhan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN akan melaksanakan dasar pemulangan levi yang lebih mesra majikan dan industri bagi memastikan proses pulangan berjalan lancar.

“Kerajaan membuat penambahbaikan signifikan kepada dasar dan proses pemulangan levi termasuk mengurangkan tempoh masa pemprosesan pulangan balik iaitu 53 kepada 28 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Pengarah Imigresen dan 77 kepada 38 hari bagi permohonan peringkat kelulusan Ketua Setiausaha KDN.

“Majikan dibenarkan membuat tuntutan pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas tempoh enam bulan sah laku Surat Kelulusan Bersyarat dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan semula kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam merencanakan pengurusan pekerja asing negara, kerajaan bertindak berpandukan empat komponen utama yang berfokus kepada merendahkan kos migrasi pekerja asing, mempercepatkan proses kemasukan, memastikan kebajikan pekerja dan kepentingan majikan terpelihara.

Katanya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 Bil. 1/2024 yang diadakan pada 16 Januari lalu, kedua-dua kementerian bersama Agensi Kawal Selia (AKS) berkaitan telah menilai semula keperluan sebenar industri yang dibaca bersama unjuran keperluan tenaga kerja negara dan senario semasa, seterusnya membuat pertimbangan keperluan kuota penggajian pekerja asing.

“Jemaah Menteri pada 15 Februari lalu berpuas hati, baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan telah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan Visa Dengan Rujukan (VDR) pada 31 Mac tahun ini akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.

“Justeru, tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei tahun ini dan tiada lagi kemasukan pekerja asing sektor formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun 2024,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor