HomeBeritaBersih saran reformasi pelantikan ahli SPR

Bersih saran reformasi pelantikan ahli SPR

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberi saranan supaya mekanisme pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya di Parlimen.

Menurut Bersih, langkah tersebut penting supaya proses berkenaan dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh Ahli Parlimen kerajaan mahu pun pembangkang.

“Ahli-ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR yang mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Bersih turut mengulangi gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli SPR.

Gabungan itu menegaskan, reformasi pelantikan tersebut adalah mustahak, tambahan lagi Pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Bersih sekali lagi menegaskan supaya Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan tidak mengetepikan agenda reformasi pilihan raya.

“Umum mengetahui bahawa Pengerusi SPR (Tan Sri Abdul Ghani Salleh) akan bersara wajib pada bulan Mei ini. Kekosongan jawatan ini akan menjadikan dua kekosongan jawatan ahli SPR iaitu Pengerusi dan seorang lagi ahli.

“Kami juga mengingatkan bahawa manifesto pilihan raya kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama seperti Pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Bersih turut menggesa kerajaan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang kali terakhir dilakukan pada tahun 2003 tanpa sebarang pindaan signifikan.

Katanya, Bersih telah melakukan bengkel libat urus yang melibatkan hampir semua parti politik utama di Malaysia dan CSO yang memfokuskan agenda reformasi pilihan raya selama lebih dua tahun bermula 2019 sehingga 2021.

“Hasil libat urus ini, pihak kami mengenal pasti 19 seksyen dalam AKPR yang perlu dipinda seperti seksyen berkenaan rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan.

“Selain itu, perlu juga memasukkan peruntukan baharu untuk memodenkan akta ini seiring keperluan zaman seperti larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen pilihan raya, keperluan mengaudit belanja pilihan raya oleh calon-calon serta memperkasakan kuasa SPR untuk memberi kompaun kepada pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya.

“Pindaan AKPR juga perlu dilaksanakan agar perjalanan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih baik sebelum siri pilihan raya negeri (PRN) yang akan bermula dengan PRN Sabah pada 2025,” katanya.

Author

Pilihan Editor