HomeBeritaBedah siasat 10 mangsa nahas helikopter selesai - TLDM

Bedah siasat 10 mangsa nahas helikopter selesai – TLDM

PROSES bedah siasat ke atas 10 mangsa tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dekat Lumut, Perak yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh telah selesai pada jam 2.20 petang Rabu.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut menerusi kenyataan memaklumkan, jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.

Selain itu, jasad mendiang Leftenan T. Sivasutan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan sebelum disemadikan pada Khamis.

Sementara itu, jasad mendiang Laskar Kanan JJM, Joanna Felicia Rohna akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Serian, Sarawak untuk disemadikan.

Kenyataan sama turut memaklumkan, pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing mengenai kejadian itu.

“TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian seperti dipersetujui waris.

Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi Selasa, bagi menjalani raptai untuk bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.

Kedua-duanya kemudian dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.

Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat dikongsi TLDM, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

 

Author

Pilihan Editor