HomeBeritaDBKL sita kelengkapan penjaja warga asing tanpa lesen

DBKL sita kelengkapan penjaja warga asing tanpa lesen

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita kelengkapan tujuh penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen pada Ahad.

DBKL menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, operasi dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan di beberapa kawasan sekitar ibu kota seperti Jalan Sultan (Pasar Karat), Jalan Petaling dan Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang), Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Balai Polis.

“Penjaja warga asing itu menjalankan perniagaan barang terpakai, sirih dan makanan tanpa lesen,” katanya di sini.

Antara barangan yang disita dan dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk direkodkan. – Foto: FB DBKL

Susulan itu, sebanyak dua notis kompaun dikeluarkan kepada peniaga warga tempatan beroperasi tanpa lesen, iaitu seorang penjual aksesori dan seorang peniaga makanan mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

Menurut kenyataan sama, semua barang yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras untuk dokumentasi.

“Penguatkuasaan dijalankan bersama Jabatan Pelesenan Pembangunan Perniagaan DBKL bagi memastikan semua perniagaan Pasar Karat beroperasi sepenuhnya di tempat baharu berhampiran Pasar Lee Lam Thye di Lorong Bandar 21,” katanya.

Author

Pilihan Editor