HomeBeritaDidakwa bayar bonus guna wang zakat, MUIS tuntut permohonan maaf terbuka dalam...

Didakwa bayar bonus guna wang zakat, MUIS tuntut permohonan maaf terbuka dalam 24 jam

 

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) semalam menghantar Surat Tuntutan Peguam kepada penyebar tuduhan salah guna kuasa wang zakat yang didakwa digunakan untuk membayar bonus kakitangannya.

Yang Dipertua, Datuk Yahya Hussin berkata, antara lain menuntut permohonan maaf secara terbuka kepada pihak MUIS dalam tempoh 24 jam, yang mana sekiranya gagal dibuat, saman akan difailkan serta-merta terhadap penyebar tuduhan bagi menuntut keadilan.

Beliau berkata, MUIS juga membuat laporan polis pada 28 Mac lalu berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap badan berkenaan.

Katanya, laporan polis itu dibuat agar siasatan dijalankan kerana tuduhan yang dilemparkan ke atas MUIS adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata.

Di samping itu, katanya MUIS sentiasa bersedia untuk disiasat berhubung tuduhan berkenaan dan terbuka terhadap sebarang proses siasatan pihak berkuasa sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia untuk memastikan imej dan integriti MUIS dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa ada sebarang unsur salah guna kuasa seperti yang didakwa,” katanya menerusi kenyataan, di sini.

Sebelum ini, tular dakwaan menyatakan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS membuat arahan pembayaran bonus kakitangan dengan menggunakan Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

Turut disebarkan ialah tuduhan yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif MUIS mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) sebanyak RM14 juta, tanpa proses kelulusan.

Bagaimanapun, MUIS menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah yang dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan imej badan Islam berkenaan.

Yahya berkata untuk rekod, pembahagian wang zakat untuk tahun 2023 menunjukkan jumlah kutipan wang zakat iaitu sebanyak RM141,181,101.74 telah dibahagikan kepada golongan asnaf seramai 91,060 orang.

“Asnaf penerima terdiri daripada golongan Fakir (41.1 peratus), Fisabilillah (17.9 peratus), al-Riqab (17.6 peratus), golongan Miskin (11.1 peratus), Amil (sembilan peratus), Muallaf (2.8 peratus), al-Gharimin (0.3 peratus) dan Ibnu Sabil (0.2 peratus),” katanya.

Semalam, menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif turut menekankan semua wang zakat diagihkan kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya setiap tahun.

“Jadi, jangan risau, lagipun Bahagian Zakat sentiasa diaudit dan dipantau, kalau ragu-ragu boleh rujuk kepada MUIS dan insya-Allah kita sentiasa memberi perhatian mendalam terhadap integriti di MUIS, tiada isu zakat diseleweng, insya-Allah,” katanya.

Katanya, setakat ini laporan audit terhadap MUIS juga mencatat rekod bersih dan beliau sendiri menjadi saksi penerimaan laporan itu di Kuala Lumpur. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor