HomeBerita'Hadir pesta Songkran, PAS nak jaga hati siapa sebenarnya?'

‘Hadir pesta Songkran, PAS nak jaga hati siapa sebenarnya?’

TINDAKAN seorang pemimpin parti pembangkang yang secara terbuka menyambut perayaan agama lain mencetuskan tanda tanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Manakan tidak, parti berkenaan sebelum ini dilapor bersungguh-sungguh menentang penglibatan umat Islam dalam sambutan perayaan agama lain.

Namun, kali ini, parti tersebut tampil dengan pendirian berbeza, apabila dilihat secara terbuka menghadiri sambutan Pesta Songkran.

Pesta Songkran merupakan perayaan agama Buddha dan lazimnya disambut komuniti tempatan selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 April.

Untuk rekod, kira-kira 30,000 masyarakat berketurunan Siam di negeri Kedah meraikan pesta berkenaan.

Antara pemimpin PAS yang dilihat hadir dalam pesta yang berlangsung di Kuala Nerang, Kedah adalah Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid serta Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin.

Hantaran Nurul Amin yang sempat ditangkap layar sebelum dipadam di laman Facebook.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Nurul Amin berkata, beliau dan tetamu kenamaan lain turut ‘dibasahkan’ sebagai antara ritual Pesta Songkran.

“Semua orang wajib dibasahkan termasuk tetamu tanpa mengira darjat, itulah keistimewaan Pesta Songkran.

“Kepelbagai adat dan budaya yang dikongsi bersama ini dapat mengeratkan hubungan harmoni sesama kaum di Padang Terap,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat mengecam perbuatan tersebut dan menganggap PAS seolah-olah membuat pusingan U atau U-turn berhubung pendirian parti itu mengenai sambutan perayaan agama lain.

Menerusi laman X, akaun @KroniRakyat berkata, PAS pernah menyatakan bahawa umat Islam dilarang dan haram menyambut Pesta Songkran, memandangkan ia adalah sambutan khusus untuk penganut agama Buddha.

“Songkran ni haram. Dulu PAS bantah. Kini PAS anjur. Boekkk (baik),” katanya.

Dalam hantaran sama, @KroniRakyat turut memuat naik petikan kenyataan parti itu yang menggunakan firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun untuk menyokong pengharaman tersebut.

Sindir @bashar_wan: “Depa (mereka) yakin depalah yang layak tentukan hukum-hakam dalam agama Islam. Hukum akan berubah mengikut selera ayatollah2 mereka.

Di laman Facebook, Jiminho Dauda Al-Hajj mempersoalkan sama ada Nurul Amin terjebak dengan amalan kepercayaan pesta tersebut.

Menurutnya, amalan ‘dibasahi’ merupakan ritual agama lain yang berkait rapat dengan menghilangkan dosa dan nasib malang.

“Ini adalah tema sepanjang festival Songkran.

“PAS nak jaga hati siapa sebenarnya? Ini bab akidah, bukan ke begitu?” soalnya.

Sementara itu, hantaran Nurul Amin berhubung pesta berkenaan didapati sudah pun dipadam.

Setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa agama berhubung perkara berkenaan.

Tahun lalu, Pemuda PAS Kawasan Kampar dilapor membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pesta Songkran yang berlangsung di Sahom, Kampar, Perak pada 26 dan 27 Ogos.

Ketua Pemudanya, Saiful Islam Abdul Rahman menegaskan, pihaknya kesal dengan hebahan secara terbuka kepada masyarakat bagi menghadiri pesta tersebut yang secara jelas bercanggah dengan Islam.

Di Thailand, buat kali pertama tahun ini, Songkran tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

 

Author

Pilihan Editor