HomeSukanGagal melakar impian, Nur Izzuddin-Sze Fei terlepas gelaran sulung di China

Gagal melakar impian, Nur Izzuddin-Sze Fei terlepas gelaran sulung di China

 

IMPIAN beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei untuk melakar kejutan dalam saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China pada Ahad tidak kesampaian.

Pasangan yang menghuni ranking ke-19 dunia itu terpaksa akur bergelar naib juara setelah tewas kepada Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam aksi final di Ningbo.

Dalam aksi itu, gandingan tuan rumah unggul menang set pertama 21-17, sebelum Nur Izzuddin-Sze Fei bangkit 21-15 untuk mengheret perlawanan ke penentuan set ketiga.

Aksi bertenaga pasangan negara gagal diteruskan apabila terpaksa akur kalah 10-21 untuk memberi gelaran juara kepada Wei Keng-Wang Chang, lapor Sinar Harian.

Kekalahan itu sekali gus menggagalkan misi Nur Izzuddin-Sze Fei untuk melunaskan dendam ke atas pasangan nombor tiga dunia itu setelah tewas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023.

Nur Izzuddin-Sze Fei mara ke pentas final pertama mereka dalam saingan BAC selepas mengenepikan cabaran rakan sepasukan yang juga beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-14, 21-18 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Wei Keng-Wang Chang pula mara ke final selepas mengatasi pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-17, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kejayaan mara ke final BAC kali ini menjadi pencapaian tertinggi dalam karier Nur Izzuddin-Sze Fei mengambil kira status kejohanan yang bertaraf Super 1000.

 

 

 

Author

Pilihan Editor