HomeBeritaViral2 bungkus nasi lemak berharga lebih RM60

2 bungkus nasi lemak berharga lebih RM60

SEORANG individu mengakui dirinya menjadi mangsa ‘cekik darah’ apabila terpaksa membayar harga makanan yang tidak masuk akal, ketika menjamu selera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat Sepang, Selangor baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di laman X, lelaki yang menggunakan akaun @morasaki12 itu berkata, dia terpaksa membayar sebanyak RM63.10 untuk dua bungkus nasi lemak dengan berlaukkan ayam goreng.

Menurutnya, jumlah keseluruhan yang perlu dibayarnya bersama cukai adalah sebanyak RM106.95 termasuk dua cawan kopi yang dibeli dengan harga RM29.10.

“Di KLIA tak ada sesiapa pantau harga ke? Dua bungkus nasi lemak sahaja dah berharga RM63.10.

“Adakah ini harga di lapangan terbang? Dalam nasi lemak tersebut ada ayam goreng, ikan bilis dan sesudu sambal sahaja,” tulisnya pada Sabtu.

Lelaki itu berkata, dia sanggup membuat pembayaran dengan harga premium sekiranya menu tersebut nampak menyelerakan, namun makanan yang dihidangkan dilihat menghampakan.

“Kalau harga mahal tapi makanan nampak premium saya tak kisah.

“Tapi lihatlah sendiri, berbaloikah dengan harga RM63.10?” soalnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menganggap harga makanan mahal di lapangan terbang adalah perkara biasa.

Malah, ada juga segelintir yang mengecam lelaki tersebut berikutan keputusannya yang tidak memeriksa harga makanan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran.

Tulis @FahmieizzRahman: “Sebelum beli tengok dulu harga. Kalau rasa mampu teruskan beli tanpa merungut di kemudian hari. Tapi, kalau rasa tak mampu, boleh je pergi makan dekat level 2 Food Garden.”

Tambah @HilmiHimself “Sebelum beli tak tengok harga kat menu dulu ke? Dah makan baru nak complaint. Harga tu da boleh makan kat airport lounge, siap boleh makan banyak-banyak.”

@mrpalpatine10 berkata: “Sebelum beli tak check harga atau gambar? Just order gaya orang kaya ke macam mana?”

Author

Pilihan Editor