HomeBeritaKerajaan Terengganu nafi dakwaan anjing liar mati diracun

Kerajaan Terengganu nafi dakwaan anjing liar mati diracun

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menafikan dakwaan pihaknya mengarahkan anjing liar diracun walaupun haiwan itu mengancam keselamatan manusia dan ternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri berusaha mengawal populasi anjing liar daripada membiak berterusan tidak terkawal.

Menurutnya, tindakan meracun anjing liar adalah salah walaupun haiwan itu mengancam keselamatan orang awam dan ternakan termasuk kambing serta biri-biri.

“Kita terkilan dengan dakwaan beratus ekor anjing liar mati disebabkan diracun seperti ditularkan melalui Facebook (FB) Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Terengganu (PPHTT), hari ini.”

“Kerajaan tidak pernah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meracun untuk melupuskan anjing liar,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, PPHTT menerusi Facebook mendakwa satu operasi penghapusan anjing liar di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dengan memberi makanan beracun, kemungkinan dicampur dengan racun perosak dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, pihaknya turut menerima laporan beratus ekor ternakan peliharaan termasuk kambing dan biri-biri mati diserang anjing liar.

Katanya, kerajaan negeri berada dalam dilema berikutan populasi anjing liar tidak bertuan yang mengancam keselamatan orang awam dan ternakan berkeliaran.

“Berdasarkan laporan awal, anjing liar ini diambil individu tertentu bertujuan untuk menjaga kebun tetapi dibiarkan berkeliaran selepas tanaman mengeluarkan hasil.

“Walaupun kepentingan rakyat diutamakan, tetapi kaedah pelupusan anjing liar secara berperikemanusiaan perlu dilakukan,” katanya.

Dr Azman berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan PBT sudah diminta melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan PPHTT itu.

Sementara itu, beberapa pegawai JPV sudah pun ke lokasi bangkai anjing liar mati untuk melakukan siasatan lanjut.

Author

Pilihan Editor