HomeBeritaKoperal ditahan kes kematian remaja di Melaka

Koperal ditahan kes kematian remaja di Melaka

PIHAK polis menahan seorang anggotanya yang terlibat dalam kes kemalangan maut seorang remaja berusia 18 tahun pada Sabtu pagi.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan itu dibuat di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada jam 9 pagi.

“Kita telah menahan Koperal berusia 37 tahun yang terlibat dalam kemalangan maut seorang remaja di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal dalam kejadian pada 10 April lalu.

“Sehingga kini, rakaman percakapan masih dijalankan dan menunggu reaksi serta kerjasama daripada anggota berkenaan, jika dia gagal memberikan kerjasama kita akan membuat keputusan untuk tindakan reman,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini, enam laporan polis berkaitan insiden tersebut sudah diterima, manakala tiga rakaman percakapan telah dibuat daripada saksi serta ahli keluarga mangsa.

“Saringan air kencing telah dijalankan ke atas anggota berkenaan dan hasil adalah negatif dadah.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, kerana kesalahan memandu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Terdahulu, Mohammad Khairul Basahri dilaporkan maut selepas motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggangnya merempuh kenderaan pacuan empat roda polis jenis Hilux, di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, dekat Melaka pada jam 2.56 pagi Rabu.

Zainol berkata, nahas berlaku ketika pihak polis sedang melakukan rondaan mencegah lumba haram susulan aduan diterima daripada penduduk setempat.

Jelasnya, ketika kenderaan polis itu hendak membelok ke kanan dari arah Durian Tunggal ke Gangsa, tiba-tiba mangsa yang dari arah bertentangan telah merempuh bahagian hadapan Hilux berkenaan lalu menyebabkannya mengalami kecederaan parah.

Mohammad Khairul bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 12.37 tengah malam, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan dalaman.

 

 

 

Author

Pilihan Editor