HomeBeritaKutipan sisa pepejal meningkat 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan

Kutipan sisa pepejal meningkat 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan

CYBERJAYA: Kutipan sisa pepejal mencatatkan peningkatan sebanyak 3,600 tan metrik  pada hari ke-20 Ramadan tahun ini berbanding pada tahun 2023.

Jumlah tersebut merangkumi di keseluruhan ketiga-tiga kawasan konsesi di bawah pengurusan lam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali berkata, antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan sisa tersebut adalah daripada makanan yang tidak dihabiskan atau diusik, yang dijual di bazar-bazar Ramadan.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan metrik sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa bagi kawasan Kuala Lumpur yang mana, mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Adam Saffian berpendapat, juadah yang disediakan berkemungkinan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan sehingga akhirnya tong sampah menjadi destinasi terakhir baki sisa makanan. 

Walaupun begitu, Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa mengira masa dan tempat. 

“Bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing. 

“Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas dan tin aluminium perlulah diasingkan. 

“Ia harus diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas. Ianya diletakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa di punca anjuran pihak kerajaan,” tegas Adam Saffian.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil.

Author

Pilihan Editor