HomeBeritaTH umum dividen 3.1 peratus

TH umum dividen 3.1 peratus

CYBERJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2023, setelah mengambil kira pelunasan zakat pada kadar 2.57 peratus.

TH dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, agihan keuntungan 2023 membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH.

Pada tahun 2022, katanya, agihan keuntungan adalah sebanyak RM2.65 bilion yang memberi manfaat kepada 8.8 juta pendeposit.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun adalah sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, TH memaklumkan bahawa, agihan keuntungan 2023 dibuat setelah penyata kewangan TH 2023 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mengambil kira rosot nilai, terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan pelaburan hartanah di United Kingdom (UK).

Tambahnya, agihan keuntungan bagi 2023 juga mematuhi Akta Tabung Haji 1995 serta berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

“Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing mulai jam 12 tengah hari Selasa menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic,” katanya.

Pada masa sama, TH turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun 2023.

Justeru, TH berharap agar pelunasan zakat itu secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

Menurutnya lagi, jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan bagi pihak pendeposit adalah sebanyak RM1.37 bilion sehingga kini.

“TH menggunakan kadar 2.57 peratus dalam pengiraan zakat TH bagi mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi, sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH.

“TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah, yang mana TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada asnaf.

“Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat daripada Program Zakat Wakalah TH,” tambahnya.

 

 

Author

Pilihan Editor