HomeBeritaLancarkan proses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu, 5 jalan ditutup sementara

Lancarkan proses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu, 5 jalan ditutup sementara

SEBANYAK lima laluan jalan raya di sekitar Kuala Kubu Baharu, Selangor akan ditutup sementara dan dilencongkan, bagi melancarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim, jalan yang terlibat bagi penutupan sementara itu ialah Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.

“Penutupan sementara jalan sempena hari penamaan calon pada esok bermula pada 12.01 tengah malam (27 April) hingga selesai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Susulan penutupan jalan sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif lain seperti Jalan Kubu, Jalan Dato Tabal, Jalan Rasathurai, Jalan Dato Balai, Jalan Syed Masyor dan Jalan Pahang.

Pada masa sama, katanya, pengguna dinasihatkan supaya mematuhi arahan penutupan jalan dan lencongan itu yang dibuat bagi melancarkan aliran trafik.

Proses penamaan calon bagi PRK berkenaan dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor mulai jam 9 pagi.

Pada Khamis, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Khairul Azhari Saut, yang juga pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor sebagai calonnya pada PRK Kuala Kubu Baharu

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) pula mempertaruhkan Pang Sock Tao yang juga pembantu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, manakala 27 April pula sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Author

Pilihan Editor