HomeBeritaRumah terbuka di Kuala Kubu Baharu boleh jadi kesalahan - Bersih

Rumah terbuka di Kuala Kubu Baharu boleh jadi kesalahan – Bersih

PENGANJURAN Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang bakal berlangsung di pekan Kuala Kubu Baharu, Selangor pada Sabtu ini boleh bercanggah dengan banyak peruntukan di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Hal ini kerana, menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), lokasi dan masa penganjuran majlis tersebut terletak di kawasan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sedang berjalan.

“Berdasarkan risalah program tersebut yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya.

“Pemberian atau penjamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (Penjamuan) dan pemberian duit raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 (Penyogokan),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Bersih mengingatkan kerajaan Selangor bahawa, disebabkan penganjuran rumah terbuka itu menggunakan sumber kerajaan negeri, maka mereka perlu memastikan majlis tersebut tidak digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan, berkempen dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen lain yang bertujuan untuk memenangkan calon mereka.

Menurutnya, sumber kerajaan bukan sementara seperti kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan ketika tempoh PRK perlu mematuhi prinsip 3C seperti digariskan oleh Bersih sebelum ini, iaitu No Conditions (tanpa syarat), No Campaign (tanpa kempen) dan No Candidate (tiada calon).

“Bersih juga ingin mengingatkan parti-parti politik atau mana-mana calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya ini yang bercadang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka peringkat parti atau kapasiti masing-masing, supaya tidak berbuat demikian kerana aktiviti tersebut bercanggah dengan AKPR.

“Bersih sekali lagi menegaskan kepada semua pihak yang akan bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu ini, terutamanya pihak kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan agar mematuhi etika kempen pilihan raya, supaya pilihan raya di negara kita dapat berjalan dengan bersih dan adil,” katanya.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, manakala 27 April pula sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Author

Pilihan Editor