HomeBerita'Nak boikot? Silakan', Akmal Saleh ulas isu sabotaj klinik miliknya

‘Nak boikot? Silakan’, Akmal Saleh ulas isu sabotaj klinik miliknya

CYBERJAYA: Kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam mempertahankan agama Islam dilihat mendapat respons kurang senang daripada segelintir pihak.

Ketika ini, Dr Muhamad Akmal antara individu yang lantang menyuarakan pandangan, berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Difahamkan, beliau juga merupakan antara yang terawal menggesa rakyat Malaysia untuk memboikot premis tersebut.

Menurutnya, kempen boikot itu diadakan sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.

Terbaharu, segelintir pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kelantangan Dr Muhammad Akmal bertindak mahu memboikot klinik milik beliau yang terletak di Merlimau, Melaka.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman X, yang mana seorang pengguna dengan nama @RajaMohdShahrim memuat naik gambar klinik milik Dr Muhamad Akmal dan tertera perkataan ‘boycott‘.

“Ini bukanlah nak provokasi tapi terpulanglah pada setiap individu,” tulisnya pada Ahad.

Tampil mengulas mengenai perkara itu, Dr Muhamad Akmal tidak menolak kemungkinan bahawa, tindakan mensabotaj klinik miliknya merupakan serangan balas terhadap kelantangannya melakukan gesaan memboikot KK Mart.

Namun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu berkata, keputusan untuk memboikot klinik miliknya merupakan hak individu dan hak rakyat untuk membuat pilihan.

“Jika nak boikot, silakan. Seperti mana kita buat kempen boikot KK Mart.

“Kempen boikot KK Mart tidak pernah dihentikan pun.

“Suruh Siti Kassim datang ke Merlimau dan tanya orang Merlimau dulu sebelum nak boikot,” katanya kepada Media Variasi.

Bulan lalu, Dr Muhamad Akmal membidas peguam Siti Kassim yang menuduhnya mahu menjadi hero dalam isu kalimah Allah pada stoking, dengan menyatakan bahawa beliau bertindak demikian berikutan agamanya dihina.

Tegasnya, beliau bukan mahu menjadi seorang hero, namun hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Terdahulu, Siti Kasim dilaporkan berkata, Dr Muhammad Akmal tidak mewakili masyarakat Melayu dan pendiriannya itu hanyalah berkepentingan politik yang bertujuan meraih sokongan orang Melayu Islam kepada UMNO.

“Awak bukan hero kepada orang Melayu atau Islam. Kita tunggu polis siasat, mungkin ada sabotaj atau kesilapan yang tulen,” katanya.

 

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor