HomeBeritaPortal salah lapor titah Sultan Pahang bakal berdepan tindakan tegas

Portal salah lapor titah Sultan Pahang bakal berdepan tindakan tegas

CYBERJAYA: Satu siasatan terperinci dan tindakan tegas sewajarnya akan diambil terhadap portal yang melaporkan artikel bertajuk ‘Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS’.

Hal ini kerana Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementeriannya memandang serius terhadap kenyataan media Pejabat Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menzahirkan dukacita berhubung laporan berkenaan.

“Ini juga adalah peringatan kepada semua pihak tidak kira media elektronik, cetak, portal, mahupun platform media sosial agar tidak sesekali memandang remeh isu 3R (agama, kaum dan raja),” katanya seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan itu yang disiarkan Jumaat lepas.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda bertitah laporan itu bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Beliau berkata, baginda turut mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik untuk meneliti serta memperhalusi setiap berita, sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar daripada maksud sebenar.

Sementara itu, portal berkenaan menerusi kenyataan pada Ahad tampil membuat permohonan maaf di atas kekhilafan tersebut.

Portal tersebut turut mengambil langkah menarik balik berita berkenaan dan memadamkannya dari sistem.

Author

Pilihan Editor