HomeGlobalPrabowo diisytihar Presiden Indonesia bagi tempoh 2024-2029

Prabowo diisytihar Presiden Indonesia bagi tempoh 2024-2029

SURUHANJAYA Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia mengisytiharkan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia bagi tempoh 2024-2029.

Sementara itu, Gibran Rakabuming Raka pula diisytihar sebagai Naib Presiden Indonesia bagi tempoh sama.

Keputusan itu dibuat bagi mengesahkan hasil pengundian Pemilihan Presiden (PilPres) 2024 yang dijalankan baru-baru ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari di pejabat KPU Ri, dekat Jakarta, Indonesia pada Rabu.

Menurut Hasyim, gandingan Prabowo-Gibran berjaya meraih 96,214,691 undi atau 58.59 peratus daripada jumlah undi sah serta memenuhi sekurang-kurangnya 20 peratus undi di setiap 38 wilayah di Indonesia.

Saingan mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo masing-masing pula hanya memperoleh 40,971,906 undi dan 27,040,878 undi.

“Justeru, laporan rasmi berhubung perkara ini disediakan sebanyak 24 salinan dan setiap salinan ditandatangani oleh Pengerusi dan ahli KPU,” kata Hasyim seperti dilapor agensi Antara.

Sementara itu, Prabowo berkata, beliau dan Gibran akan bekerja keras mulai hari ini bagi mempersiapkan diri untuk menerajui Indonesia bagi lima tahun akan datang.

“Terima kasih, hari ini kami datang ke KPU sebagai sebahagian daripada proses yang telah kami lalui bersama.

“Kami telah mengikuti keseluruhan proses pemilihan presiden. Hari ini kami menerima pengumuman daripada KPU dan akan mula bekerja keras untuk mempersiapkan diri,” katanya seperti dilapor Jakarta Globe.

Beliau berkata demikian sebaik tiba di pejabat KPU pada Rabu.

Pada masa sama, Prabowo mengajak seluruh elemen masyarakat khususnya elit politik bersatu untuk kembali membina negara.

“Saya rasa apa yang penting sekarang ialah kewajipan kita untuk bekerjasama.

“Rakyat berharap dan menuntut semua pemimpin politik bekerjasama dan bekerja untuk rakyat,” tambah Prabowo.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa, Prabowo dan Gibran, memenangi pilihan raya dengan 58 peratus undi, menurut pengiraan kebangsaan yang diumumkan pada 20 Mac.

Namun, perayaan kemenangan itu ditangguhkan, berikutan cabaran undang-undang daripada calon saingan, Anies dan Ganjar, yang menuntut supaya keputusan itu dibatalkan.

Mereka mendakwa berlaku penipuan pengundian secara meluas, adanya pilih kasih, dan sokongan pemerintah yang dikatakan memihak kepada Prabowo dan pasangannya, Gibran, yang juga anak sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Dalam undian 5-3 pada 22 April, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kedua-dua, Anies dan Ganjar gagal mengemukakan bukti yang kukuh, dan saksi yang boleh dipercayai, untuk menyokong dakwaan mereka, sekali gus menolak usul mereka secara keseluruhan.

Lima daripada lapan hakim memutuskan untuk menentang cabaran tersebut, dan tiga hakim iaitu Saldi Isra, Enny Nurbaningsih, dan Arief Hidayat menawarkan pendapat yang berbeza.

Hakim Anwar Usman, bapa saudara Gibran, tidak mengambil bahagian dalam keputusan itu kerana bimbang konflik kepentingan.

Author

Pilihan Editor