HomeBeritaPelanggan tak fasih Bahasa Melayu, pegawai Imigresen dilarang tolak permohonan

Pelanggan tak fasih Bahasa Melayu, pegawai Imigresen dilarang tolak permohonan

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Namun, Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam melaksanakan tanggungjawab, pegawai-pegawai jabatan itu akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

“Walaubagaimanapun, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan berhemah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan beberapa portal media dalam talian berhubung kekesalan seorang lelaki, apabila ibunya tidak dapat memperbaharui pasport kerana tidak boleh berbahasa Melayu ketika hadir ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Lelaki itu mendakwa, ibunya menghadapi masalah Bahasa Melayu kerana tidak bersekolah namun alasan tersebut tidak diterima.

Mengulas lanjut, Ruslin memaklumkan bahawa, pelanggan tersebut sudah pun memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada Isnin lalu.

“Imigresen Malaysia komited dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

 

 

Author

Pilihan Editor