HomeSukanSah bayar tunggakan gaji, KDA FC kekal beraksi Liga Super musim ini

Sah bayar tunggakan gaji, KDA FC kekal beraksi Liga Super musim ini

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi badan bebas First Instance Body (FIB) mengesahkan bahawa, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, memaklumkan, tunggakan itu dijelaskan sebelum tarikh akhir bayaran pada 20 April lalu.

Sheikh Mohd Nasir memaklumkan, berdasarkan surat bertarikh 18 April lalu serta dokumen pembayaran yang telah diserahkan kepada MFL dan disemak FIB, KDA FC telah melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai skuad Liga Super.

Beliau berkata, KDA FC juga telah menyelesaikan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan peringkat bawah umur iaitu skuad Bawah 23 Tahun, Bawah 20 Tahun dan Bawah 18 Tahun.

“Namun, terdapat dua pemain iaitu Lee Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis yang masih belum mendapat bayaran, berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC).

“Namun kesemua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB telah berjaya diselesaikan oleh KDA FC, bagi membolehkan pasukan itu kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024/2025,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, FIB mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata terhadap KDA FC dalam saingan Liga Super 2024/2025 serta denda sebanyak RM50,000.

“Ia susulan kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh akhir 30 Mac 2024, sebelum FIB memberi lanjutan masa sehingga 20 April 2024,” katanya.

Terdahulu, FIB memberi lanjutan masa buat KDA FC menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga 20 April lepas.

Khamis lalu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, kelab itu berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi 2023, sekali gus membolehkan pasukan tersebut kekal bersaing dalam Liga Super.

 

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor