HomeBeritaMyMHI'23 ukur tahap kesihatan mental belia

MyMHI’23 ukur tahap kesihatan mental belia

INDEKS Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23), yang juga indeks kesihatan mental pertama di Malaysia dilancarkan pada Isnin bagi mengukur tahap kesihatan mental belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Inisiatif tersebut diterajui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dengan sokongan daripada pihak berkepentingan berkaitan dan dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, di Putrajaya.

Menurut KBS, inisiatif itu merangkumi tujuh domain iaitu persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, sokongan sosial, pengendalian tekanan, dan minda sihat, serta disokong oleh 28 indikator.

“Secara keseluruhannya, MyMHI’23 yang melibatkan 5,867 responden ini, menunjukkan kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana memuaskan dengan skor 71.91.

“Domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi (88.51) iaitu berada pada tahap memuaskan, manakala domain persekitaran mencatatkan skor terendah (65.45), iaitu berada pada tahap sederhana memuaskan,” menurut KBS sempena pelancaran MyMHI’23.

Dalam kenyataan sama, KBS memaklumkan, antara intervensi yang dikenal pasti untuk meningkatkan kesihatan mental belia adalah mewujudkan ruang kediaman yang tidak terlalu sesak dan dilengkapi dengan kemudahan asas mencukupi, sekali gus memupuk persekitaran yang bebas daripada tekanan.

Selain itu, intervensi lain ialah meningkatkan ketercapaian belia kepada perkhidmatan kesihatan mental; mempromosikan gaya hidup sihat yang meliputi penyediaan makanan sihat dan pelaksanaan aktiviti fizikal; dan meningkatkan daya tahan melalui kesedaran dan kefahaman yang jelas mengenai kesihatan mental bagi mengelakkan sterotaip.

“Malah, intervensi lain adalah memperkasa penglibatan belia dalam persatuan dan aktiviti kesukarelawanan; dan memperkasa peranan ibu bapa serta penjaga melalui penguasaan kemahiran literasi kesihatan mental dan kemahiran keibubapaan yang positif,” katanya.

Pada masa sama, KBS memaklumkan, usaha bagi mengkaji dan meningkatkan kesihatan mental belia Malaysia adalah selari dengan Strategi 1, Teras 3 Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030), iaitu Meningkatkan Kesihatan Mental, Kecergasan Fizikal Dan Kecerdasan Spiritual belia.

“Diharapkan agar semua pihak berkepentingan dapat memberi kerjasama dan sokongan kepada KBS dan Kementerian Kesihatan, dalam memperjuangkan isu kesihatan mental belia,” menurut kenyataan itu.

 

Author

Pilihan Editor