HomeBerita'Saya bukan raja formula, tapi ada prinsip' - Akmal Saleh

‘Saya bukan raja formula, tapi ada prinsip’ – Akmal Saleh

KETUA Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang formula untuk menarik undi kaum Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, beliau kekal dengan prinsipnya bagi mempertahankan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Saya tiada formula untuk diberikan kerana saya bukan raja formula, tetapi saya ada prinsip yang perlu dipertahankan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pandangan penganalisis politik berhubung PRK Kuala Kubu Baharu.

Pensyarah Sains Politik di Universiti Sains Malaysia, Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan harus memikirkan formula untuk memanfaatkan Dr Muhamad Akmal bagi menarik semula sokongan pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, semua pihak perlu memahami isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) dan tidak harus sesekali menyentuh mengenai perkara tersebut.

Jelasnya, orang Melayu selama ini tidak pernah bersifat rasis, namun hanya mempertahankan hak mereka tanpa mengambil hak kaum-kaum lain.

“Kami boleh berkawan dan memahami dengan sesiapa sahaja tetapi sekali disentuh tiga perkara utama ini, orang Melayu tidak akan berdiam diri.

“Walaupun menggunakan sesiapa sahaja waima (Akmal) pun tidak mampu untuk menarik undi orang Melayu jika ia berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dilihat antara individu lantang bersuara selain menjalankan kempen boikot berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Pada 5 April lalu, beliau ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, selepas polis menerima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakannya berhubung isu tersebut.

 

 

Author

Pilihan Editor