HomeBeritaTukang kebun terkejut jumpa mayat bayi dalam tangki pam tandas

Tukang kebun terkejut jumpa mayat bayi dalam tangki pam tandas

KUALA BERANG: Seorang tukang kebun terkejut setelah menemukan mayat bayi lelaki di dalam tangki pam tandas perempuan di Masjid Kampung Pasir Simpul, sekitar jam 7 malam pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Simpul Muhammad Mustaffa berkata, dia dimaklumkan tukang kebun masjid, Junaidi Sulaiman, 40-an, mengenai penemuan mayat terbabit.

Difahamkan mayat tersebut dikesan selepas terhidu bau busuk selain pam tandas itu tersumbat oleh tukang kebun masjid itu ketika sedang mencuci tandas.

Susulan itu, Junaidi kemudian bertindak mencungkil tangki pam tandas berkenaan sebelum kelihatan tangan terjulur dari takungan pam itu.

“Terkejut dengan penemuan itu, Junaidi kemudian menghubungi saya dan pengerusi masjid sebelum menghubungi polis,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mayat bayi terbabit ditemui kira-kira 7 malam.

Menurutnya, bayi berjantina lelaki yang cukup sifat dan mereput itu sudah meninggal dunia melebihi 24 jam.

Zainul berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan suspek masih dikesan.

Author

Pilihan Editor