HomeBeritaPolitikUMNO boleh rampas 7 kerusi jika PRK diadakan - Ahmad Fadhli

UMNO boleh rampas 7 kerusi jika PRK diadakan – Ahmad Fadhli

PAS menjangkakan bahawa UMNO boleh merampas enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan tahun ini.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, secara sinis berpandangan bahawa, UMNO boleh menang terutama di kerusi Parlimen, yang mana parti itu kalah tipis sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, UMNO akan mendapat bantuan undi daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) sekiranya PRK dilakukan di ketujuh-tujuh kawasan tersebut.

“KJ (Khairy Jamaluddin) kata jika berlaku PRK di tujuh kerusi lompat itu, PPBM (Bersatu) boleh menang semuanya jika diadakan pada tahun ini.

“Saya sedikit berbeza pandangan, saya berpendapat UMNO berpeluang untuk menang terutama di kerusi-kerusi yang kalah tipis.

“Kali ini jika berlaku PRK, mereka akan dapat bantuan undi penyokong PH. Ini masanya untuk mereka bangkit semula,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Tambah Ahmad Fadhli, ‘tugas’ UMNO ketika ini adalah untuk mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk mengisytiharkan kekosongan pada enam kerusi Parlimen supaya PRK boleh dilakukan.

“Desak dan tekan bersungguh-sungguh.

“Memandangkan enam kerusi Parlimen itu UMNO di tempat kedua, parti inilah paling layak meletakkan calon. Semoga pandangan ini diambil kira,” ujarnya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen daripada Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa, keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada Bersatu yang disifatkan sebagai berpaling tadah kerana menyokong pimpinan pihak lawan, sudah tergugur secara automatik serta perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Author

Pilihan Editor