HomeBeritaMPSepang bina menara 18 tingkat bernilai RM129 juta

MPSepang bina menara 18 tingkat bernilai RM129 juta

MAJLIS Perbandaran Sepang (MPSepang) sedang membina menara pejabat baharu di Cyberjaya, Selangor yang menelan belanja sebanyak RM129 juta untuk menampung pekerja yang semakin bertambah.

Menara 18 tingkat itu dibina bersebelahan dengan ibu pejabat lama yang berada di Persiaran Semarak Api, yang dibina pada 2008.

Presiden MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pembinaan tersebut dijangka akan siap pada 18 Januari 2027.

Selain itu, menara baharu ini dikhabarkan mempunyai keluasan lantai 22,104.9 meter persegi, yang boleh menempatkan kira-kira 1,500 kakitangan.

Projek ini juga merangkumi kawasan tempat letak kereta bertingkat, amfiteater luar dan dewan serbaguna yang fleksibel bercirikan mesra alam untuk menjimatkan tenaga.

Sementara itu, Abd Hamid turut menjangkakan akan berlaku pertambahan kakitangan sebanyak 5.0 peratus setahun menerusi projek tersebut.

Menurut laporan NST, pembiayaan projek itu diambil daripada hasil rizab MPSepang selama tiga tahun berturut-turut.

Pada tahun 2023, MPSepang telah memperuntukkan RM250 juta untuk program daerah dan perancangan pembangunan, berbanding unjuran hasil sebanyak RM202 juta.

Author

Pilihan Editor