HomeBeritaSerangan terhadap pemain, JDT gesa PDRM jalankan siasatan segera

Serangan terhadap pemain, JDT gesa PDRM jalankan siasatan segera

KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat insiden membabitkan pemainnya Safiq Rahim, yang diserang individu tidak dikenali pada Selasa.

Ketua pegawai eksekutifnya, Alistair Edwards berkata, dalam masa yang sama, pasukan JDT turut menzahirkan kerisauan mengenai keselamatan pemain, susulan serangan yang berlaku berhampiran pusat latihan kelab itu.

“Insiden itu bersama serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim (pemain bola sepak kebangsaan) baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak.

“Disebabkan kes-kes terkini, JDT kini meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Rabu.

Tangkap layar kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Rabu.

Menurutnya, pihak JDT juga telah menasihatkan para pemainnya untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka di media sosial pada setiap masa.

Terdahulu, Safiq memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali di kawasan pusat latihan JDT, di Jalan Sri Gelam dekat Johor Bahru, Johor.

Menerusi laporan polis dimuat naik, Safiq melaporkan bahawa, beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan kira-kira jam 10.05 malam Selasa.

“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dibonceng dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

“Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid di pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Minggu lalu, seorang lagi pemain, Akhyar Rashid disamun dan diserang di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Terengganu.

 

Author

Pilihan Editor