HomeBeritaAnwar bertemu pemimpin Hamas di Qatar

Anwar bertemu pemimpin Hamas di Qatar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan delegasi pejuang Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada Selasa.

Turut mengiringi Haniyeh adalah pemimpin politik Palestin yang juga bekas ketua Hamas, Khaled Masyal.

Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar berkata, beliau turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Selain itu, katanya, beliau juga menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis.

“Saya tegaskan, Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa.

Dalam masa sama, katanya, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat negara itu dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Qatar untuk meningkatkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Doha yang termeterai sejak 1974, selain usaha menarik pelaburan baharu dari negara Asia Barat.

Namun dengan peranan dimainkan Qatar sebagai mediator rundingan dalam isu Palestin khususnya konflik antara Hamas dan Israel, ramai melihat isu berkenaan akan turut berada dalam radar Anwar dalam lawatannya ke sini.

Anwar pada Isnin turut mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani dengan antara fokus perbincangan sudah tentu berkaitan konflik Asia Barat khususnya berkaitan Palestin.

Author

Pilihan Editor