HomeBeritaFaisal Halim kini semakin stabil

Faisal Halim kini semakin stabil

KONDISI kesihatan tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim kini semakin stabil selepas melakukan pembedahan kedua di hospital swasta dekat Shah Alam, Selangor pada Selasa petang.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menjalani pembedahan kedua selama tiga jam, bagi memulihkan kecederaan akibat disimbah asid baru-baru ini.

“Keadaan Faisal stabil dan saya akan melawat dia hari ini untuk mengetahui status terkini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Faisal yang juga tonggak Selangor FC (SFC) terpaksa mengharungi beberapa siri pembedahan bagi merawat lecur tahap empat.

Doktor mengesahkan Faisal cedera di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada asid berkenaan.

Pemain berusia 26 tahun itu menjadi mangsa individu tidak dikenali, yang menyimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Damansara, dekat Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi SFC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkesempatan melawat Faisal di hospital pemain tersebut mendapatkan rawatan pada Rabu pagi.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dalam kenyataan berkata, bahagian lecur pada badan pemain kebangsaan itu dapat dibersihkan dengan sangat baik yang dijangka membantu pertumbuhan sel-sel baharu.

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Kota Anggerik berkata, beliau berkesempatan menziarahi Faisal bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi pada Selasa.

 

Author

Pilihan Editor