HomeBeritaSelangor FC lancar kempen solidariti buat Faisal Halim

Selangor FC lancar kempen solidariti buat Faisal Halim

SELANGOR FC melancarkan kempen solidariti ‘Stand with Faisal Halim. Stop the Violence!
susulan tonggak pasukan tersebut, Faisal Halim dianiaya menerusi simbahan asid baru-baru ini.

Menerusi hantaran di media sosial rasmi, Selangor FC berkata, kempen itu digerakkan bagi memberi kesedaran masyarakat, untuk tidak sepatutnya memberi ruang terhadap sebarang unsur keganasan dalam dunia bola sepak.

“Bola sepak adalah sukan yang menyatukan semua orang dan bukan untuk memecah- belahkan kita.

“Pemain bola sepak telah berusaha dan bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan yang akan menggembirakan penyokong pasukan mereka,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Selangor FC berkata, seperti atlet lain, Faisal juga telah memberikan segala kudrat dan upaya untuk membanggakan bukan sahaja nama kelab, malah nama negara di persada bola sepak antarabangsa.

Menurutnya, perkara itu dapat dibuktikan apabila jaringan ikonik yang dibuat Faisal ketika menentang Korea Selatan dalam Piala Asia AFC 2023 masih lagi menjadi bualan peminat bola sepak di seluruh dunia.

“Sekarang, giliran kita pula untuk memberi sokongan padu kepada wira negara kita yang mempunyai impian besar dalam bola sepak.

“Justeru itu, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau untuk kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Terdahulu, Faisal kini dilapor semakin stabil selepas melakukan pembedahan kedua di hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menjalani pembedahan kedua selama tiga jam bagi memulihkan kecederaan akibat disimbah asid dalam serangan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, dekat Petaling Jaya, pada Ahad lalu.

 

Author

Pilihan Editor