HomeBeritaInsiden pokok tumbang: Waris keluarga layak terima faedah Perkeso

Insiden pokok tumbang: Waris keluarga layak terima faedah Perkeso

WARIS keluarga kepada seorang lelaki yang maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, hasil semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin mengesahkan bahawa, Md Rizal Atan, 47, yang meninggal dunia ketika insiden itu merupakan pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

Sim berkata, balu Allahyarham iaitu Norpahidah Mat Zaman bakal menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM3,400 sepanjang hayat.

Manakala empat anaknya masing-masing berumur antara 3 hingga 18 tahun, diberikan manfaat FOT sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Sebagai pencarum, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar oleh Perkeso menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sim berkata, kesedaran majikan dalam melunaskan tanggungjawab untuk mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga tersebut bagi melalui episod hitam berkenaan,menerusi perlindungan jaringan keselamatan sosial pemberian Perkeso dengan sokongan kewangan.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, Md Rizal yang bekerja sebagai pemandu sejak 2018 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel, untuk menjemput tetamu syarikat majikannya akibat terlibat dalam insiden pokok tumbang.

 

Author

Pilihan Editor