HomeBeritaMAQIS rampas 7.83 tan ubi keledek tak patuh syarat import

MAQIS rampas 7.83 tan ubi keledek tak patuh syarat import

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 7.83 tan ubi keledek bernilai lebih RM142,000, berikutan tidak mematuhi syarat import di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, dekat Kubang Pasu, Kedah pada Jumaat lepas.

Pengarah MAQIS Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan yang dijalankan pada kontena yang masuk dari negara jiran kira-kira jam 5 petang.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua ubi keledek yang diimport daripada Thailand itu tidak mematuhi syarat import yang sah seperti yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan. Kesemua barangan ini ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi enam tahun, atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Hisham berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang melalui operasi bersama agensi berkaitan akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

 

Author

Pilihan Editor