HomeBeritaBenarkah derma van jenazah masuk ke akaun peribadi? - PPIM

Benarkah derma van jenazah masuk ke akaun peribadi? – PPIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan adakah kutipan derma untuk van jenazah yang dilakukan seorang aktivis dimasukkan ke akaun peribadi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@Toqqi mengulas isu yang tular di media sosial apabila aktivis pengurusan jenazah mendedahkan aktivis terkenal, Uncle Kentang membuat kutipan dana untuk van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN).

“Penderma boleh rujuk kepada IKN untuk mendapatkan kepastian sama ada agensi kerajaan itu ada memohon sumbangan van jenazah dari orang awam.

“Saya dapati banyak kerja amal oleh beliau adalah melalui akaun peribadi, adakah beliau menyediakan penyata akaun yang telus serta sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam memandangkan IKN merupakan agensi atau entiti kerajaan.

“Jangan terpedaya, bukan sahaja bukan Islam, ramai juga orang Islam yang berselindung di sebalik pangkat ustaz yang menyalahgunakan agama dan mengenakan caj tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu fardhu kifayah dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Nadzim mengingatkan orang ramai agar membuat semakan secara teliti sebelum membuat sumbangan dan mereka juga boleh pergi portal yang lebih telus seperti sumbangan.com yang menunjukkan jumlah diperlukan serta amaun yang telah dikutip secara langsung.

Beliau turut mengingatkan orang awam terdapat banyak NGO Islam yang
menyediakan perkhidmatan urus jenazah secara percuma.

“Saya mengingatkan orang ramai berhati-hati dalam menghulurkan derma kepada mana-mana pihak tidak kira yang terkenal atau tidak.

“Usaha kita untuk bersedekah itu adakah amalan yang mulia dan tidak harus diteruskan jika ada perasaan ragu-ragu,” katanya.

Menurut Nadzim, walaupun tidak ada salah bagi orang bukan Islam membantu dalam kutipan dana van jenazah yang dikhususkan untuk kegunaan orang Islam, namun rakyat perlu berhati-hati dengan ke mana wang itu disalurkan.

“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, malah kerjasama sesama rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.

“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan yang boleh diambil,” katanya.

Author

Pilihan Editor