HomeNiagaSusu Summerfield 'terbang' ke Sabah

Susu Summerfield ‘terbang’ ke Sabah

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar susu milik Bumiputera, Hybrid Allied Dairy Company Sdn Bhd (HADC) bakal berkolaborasi dengan pengeluar tenusu terbesar di Sabah, Desa Dairy Farm dalam masa terdekat. 

Usaha itu akan dilakukan bagi menyebarluaskan lagi produk tenusu terutama susu suhu ultra tinggi (UHT) jenama Summerfield. 

Pengarah Urusan Summerfield, Amin Shukor, berkata pihaknya mahu memperincikan perbincangan dengan syarikat berkenaan berikutan terdapat kekangan pemasaran produk susu jenama luar ke wilayah kepulauan Borneo itu. 

“Kita akan adakan perbincangan dengan Desa Dairy Farm sebab dia ada produk, kita ada ‘expertise’, kita nak ‘finalise’ perbincangan. 

“Industri tenusu di Sabah dan Sarawak, kita tak boleh (Summerfield) masuk sana kecuali kalau kolaborasi. Di Sarawak UHT sahaja boleh masuk tapi susu segar tak boleh. 

“Sebab sana ada local product sendiri, polisi (produk susu) di sana ‘protected’  lebih protected,” katanya kepada MEDIA VARIASI. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kerjasama Summerfield dan Animasi Didi & Friends, oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Quill City Mall, di sini. 

Yang turut hadir, Pengarah Strategi Kreatif Warnakala Studios, Hairul Sofian.

Dalam pada itu, Amin berkata, pihaknya turut prihatin mengenai isu jaminan bekalan makanan dan mahu turut membantu kerajaan dalam perkara itu dengan memberi jaminan bekalan susu dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang. 

“Kita juga akan membantu sama menguatkan industri makanan, dan daripada Summerfield, kita bagi jaminan bekalan susu untuk lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya yang turut mengekalkan harga produk buat masa ini.

Author

Pilihan Editor