HomeMV+EksklusifDilanggar babi hutan, tapi dakwa dilanggar kereta demi insurans RM8 juta

Dilanggar babi hutan, tapi dakwa dilanggar kereta demi insurans RM8 juta

JELI: Pengurus Bahagian Tuntutan memberitahu Mahkamah Majistret Jeli hari ini bahawa penuntut insurans dilanggar babi hutan, bukan dilanggar kereta yang diinsurankan oleh pihak penanggung insurans.

Zanariah Rahudin, 48, berkata demikian dalam prosiding perbicaraan berhubung dua wanita yang didakwa membuat laporan polis palsu bagi tujuan menuntut insurans dengan anggaran tuntutan melebihi RM8 juta di Mahkamah Majistret Jeli.

Pengurus Bahagian Tuntutan itu bertugas di sebuah syarikat insurans turut memberitahu mahkamah kenyataan beliau adalah berdasarkan laporan awal siasatan yang dijalankan oleh pihak penyelaras tuntutan insurans.

“Penuntut berkenaan yang dikenali sebagai Abdul Fatah Bin Salleh telah melanggar seekor babi hutan dalam kemalangan tersebut.

“Keadaan Abdul Fatah yang lumpuh dan hilang keupayaan kekal menyebabkan ibunya Siti Meriam untuk mewakili beliau dalam kes tuntutan sivil yang difailkan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas terhadap motokar yang diinsuranskan oleh sebuah syarikat insurans.

“Saya pasti melalui bukti-bukti awal yang dikemukakan oleh pihak penyelaras kepada pihak kami, laporan polis yang dibuat oleh tertuduh adalah palsu.

“Bukti itu diperolehi daripada akuan sumpah, laporan polis Trafik Jeli, laporan perubatan yang di keluarkan oleh Hospital Jeli di mana Abdul Fatah dirawat dan laporan penafian yang dibuat oleh saksi di tempat kejadian,” katanya.

Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Mohd Nasir dalam perbicaraan membabitkan dua wanita yang didakwa membuat laporan polis palsu untuk tujuan tuntutan insurans palsu pada tahun 2016.

Turut hadir, dua peguam pemerhati mewakili syarikat insurans iaitu Azizi Shaghir dan Roselizawati Mustapha.

Tertuduh, Siti Faridah Besar, 52, dan Siti Meriam Samat@Saat hadir ke prosiding diwakili peguambela mereka iaitu Renuka Krishnamy dan Ayasamy Velu.

Saksi itu turut mengesahkan ada membuat laporan polis sebelum menerima laporan keseluruhan daripada pihak penyelaras berkenaan yang dilantik pada 29 Mac 2017.

Terdahulu, ketika ditanya Nazuha adakah tuntutan sivil diteruskan, saksi memberitahu tuntutan tersebut telah ditarik balik pada 12 Disember 2017, walau bagaimanapun kos peringkat awal iaitu mencecah RM100,000 telah dibayar.

Peguambela mencadangkan bahawa anggaran jumlah tuntutan Abdul Fatah telah ditaksirkan oleh peguamcara yang dilantik oleh pihak insurans.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 7 dan 8 Ogos depan.

Beliau turut berkata bahawa beliau memberi keutamaan dalam kes ini kerana kes telah sekian lama tertangguh akibat PKP.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua didakwa bersama-sama membuat laporan polis palsu untuk tujuan tuntutan insurans yang diketahui palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli jam 2.12 petang pada 8 Oktober 2016.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku pada 12 Mac 2014.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

Author

Pilihan Editor