HomeBeritaJangan samakan kavadi dengan beban politik, MU Raja tegur Tok Mat

Jangan samakan kavadi dengan beban politik, MU Raja tegur Tok Mat

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan ditegur sebagai tidak faham budaya kaum India dengan menyamakan kavadi dengan beban politik.

Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Pusat Parti Bersatu, MU Raja mengulas penularan sebuah video di laman sosial CheguBard Original mengenai komen oleh Mohammad atau Tok Mat, yang merujuk kepada kavadi dengan menyatakan UMNO kalah pada PRU14, antara lainnya kerana pikul kavadi semasa berdepan PRU.

“Jangan hina kepercayaan masyarakat India dengan merujuk memikul kavadi sebagai satu beban.

“Jika tidak faham dengan ritual kaum India, sila rujuk dulu dengan parti komponen anda MIC.

“Persoalan sini adakah beliau merujuk kepada ‘kavadi’ sebagai satu beban?,” luah beliau  yang kecewa apabila seorang pemimpin dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini boleh mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir sensitiviti kaum lain di negara ini.

Tambah beliau, masyarakatnya terkejut, kecewa dan marah kerana ini adalah satu penghinaan teruk kepada agama Hindu, sungguh cetek sekali pemahaman beliau menampakkan mengenai adat , budaya dan agama kaum India iaitu kaum ketiga terbesar di negara ini.

“Malah MIC juga sebahagian daripada komponen UMNO. Sepatutnya kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti ini perlu dielakkan bukan begitu? Saya tidak cabar mana-mana pihak mahupun cari publisiti murahan tetapi ini adalah salah dan ianya perlu diperbetulkan.

“Kita mohon Mohammad Hassan tampil beri penjelasan dan permohonan maaf dengan segera supaya keadaan keruh ini dapat selesai, kita jangan biar perkara ini berpanjangan hingga ganggu gugat keharmonian kita,” katanya kepada media.

MU Raja yang juga pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, masyarakat Hindu membayar nazar dengan cara mengambil kavadi dengan penuh ritual, kepercayaan dengan pelbagai harapan.

Jelas MU Raja Ianya tidak sepatutnya digunakan dalam apa juga kempen atau kenyataan seperti ini.

“Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat main. Yang ambil kavadi itu berpuasa, banyak pantang larang dan mengabdikan diri kepada Tuhan, adakah mereka perlu dipermainkan? Ini bukan main-main.

“Jangan cuba campur adukkan politik dan agama serta kepercayaan, tolong elak perkara seperti ini,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor