HomeMV+EksklusifAlasan kuota menteri perdaya jemaah haji furada

Alasan kuota menteri perdaya jemaah haji furada

KUALA LUMPUR: Setiap tahun isu yang sama timbul, golongan yang mahu menunaikan haji tanpa tunggu giliran di Tabung Haji menggunakan platform Visa Furada namun terdedah pula dengan penipuan syarikat pelancongan.

Visa Furada ini adalah pemberian Arab Saudi namun ramai terlepas pandang bahawa tiada visa furada dikeluarkan kerajaan Arab Saudi sejak 2019 lagi.

Manakala kuota menteri pula dimansuhkan sejak 2018. Kuota Menteri adalah kuota tambahan yang diberi oleh Arab Saudi di atas hubungan dua hala yang baik antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Ia bukan satu ketetapan dan bersifat cenderahati apabila berlaku pertemuan yang menggembirakan dua pihak antara Menteri Malaysia dan Menteri Arab Saudi, seperti kita mendapat hadiah.

Analoginya sekarang ini hadiah belum sampai lagi ke pangkuan, sudah lelong merata kutip duit orang.

Ketika ini kuota haji dari Malaysia yang diluluskan Arab Saudi adalah 14,300 orang jemaah dan ada permohonan tambahan kuota namun belum ada jawapan.

Sebelum 2018, rakyat Malaysia akur hubungan baik Malaysia menerusi Datuk Seri Najib Razak dan Almarhum Raja Abdul Aziz (bapa kepada Raja Salman) yang menyebabkan banyak kuota tambahan diberi.

Selepas 2018 kejatuhan Barisan Nasional, Najib didakwa kita sudah tidak dengar lagi adanya kuota-kuota tambahan ini.

Berbalik kepada penipuan ejen yang menggunakan Visa Furada ini adalah secara halus kerana yang terbabit dalam kegiatan termasuklah juga golongan agamawan.

Bagaimanapun apa puncanya?

MenurutĀ mangsa yang terkandas, Mastura Abdullah, 58, syarikat berkenaan, UC Travel Sdn Bhd memaklumkan visa ini diperolehi daripada kuota menteri.

“Namun kuota ini dipercayai dijual oleh pihak tertentu dan inilah pakej yang telah saya beli.

“Malah kehadiran Timbalan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Abdullah Awang dalam salah satu kursus Haji yang dianjurkan UC Travel Sdn Bhd juga memberi keyakinan orang ramai untuk menyertai pakej haji furada ini.

“Nampaknya UC Travel Sdn Bhd mengambil peluang menjemput agamawan-agamawan agar operasi mereka kelihatan mendapat restu.

“Tambahan pula tahun ini kemungkinan ada Haji Akbar jadi ramai mahu ikut dan tidak sangka wujud penipuan.

“Pakej ditawarkan adalah antara RM35,000 hingga RM60,000 dengan deposit RM5,000,” katanya kepada MEDIA VARIASI yang mula mengetahui pakej haji ini menerusi iklan di media sosial.

Tambah Mastura, syarikat berkenaan menangguhkan lebih tiga kali tarikh penerbangan dari 28 Jun, 4 Julai, 5 Julai, 6 Julai, 7 Julai.

“Bahagian pengurusan kata ada lagi visa jemaah yang tidak cetak, konsepnya mahu terbangkan semua jemaah serentak jadi kena cetak semua terlebih dahulu.

“Yang lebih mengejutkan nombor kapal terbang tidak wujud, tiada tiket, tiada pasport pada malam nak berlepas.

“Saya beli pakej itu menerusi ejen dan ejen memaklumkan sudah menyerahkan wang berkenaan kepada UC Travel, semua jemaah di bawah ejen itu belum dikembalikan wang,” katanya.

Kisah hampir 400 jemaah haji diperdaya mengguna visa furada terus hangat dibincangkan masyarakat hari ini.

Berikut adalah perkongsian daripada pengguna Facebook, Akak Gojes mengenai modus operandi UC Travel Sdn Bhd yang didalangi Datuk Ain.

UC Travel SDN BHD satu syarikat di mana di bawahnya terdapat ramai ejen yang mempromosikan pakej haji.

“Apabila Datuk Ain ini ditangkap telefon bimbitnya dirampas, segala bukti perbualan antara Haji Agus dan Datuk Ain (funder) ni kantoi berpakat ‘scam’ duit para jemaah haji, jumlah anggaran kerugian RM22 juta, dan sebenar-benarnya proses visa furada para jemaah haji selama ini langsung tidak pernah berlaku.

“Pasport 400 lebih para jemaah haji dipulangkan anggaran jam 1.45 pagi, 8.7.2022 dihantar melalui Lalamove rider ke Polis KLIA, dan kalau kita buka passportnya memang langsung tak ada kesan dibuka untuk urusan visa.

“Peluang untuk mendapatkan duit kembali sangat tipis, andai tertangkap peluang untuk lepas sangat tinggi sebabnya Datuk Ain ni ‘SCAMMER’ paling besar berulang kali modus operandi yang sama, tertangkap dan lepas, kes kebanyakkan jenayah komersial,” tulis Akak Gojes.

Antara kelebihan pergi mengerjakan haji menggunakan Visa Furada atau Mujamalah ini ialah:

1) Tidak perlu untuk mendaftar haji dengan Tabung Haji
2) Tidak perlu menunggu giliran, bila tahun untuk mengerjakan haji.
3) Fasiliti dan suasana di khemah-khemah Mashaer Haji juga agak berbeza (selesa).
4) Boleh pilih jumlah hari pakej.
5) Tiada jaminan akan lulus kesemuanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan agensi terbabit adalah berlesen dengan pihaknya dan pasukan penguatkuasaan MOTAC telah menemu bual wakil syarikat di KLIA dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang dan pasport akan dikembalikan secara berperingkat.

Author

Pilihan Editor