HomeHiburanPahlawan Puteri angkat wanita Melayu di Festival Malaysia-Jepun 2022

Pahlawan Puteri angkat wanita Melayu di Festival Malaysia-Jepun 2022

KUALA LUMPUR: Lagu Tari Tualang Tiga seringkali dimainkan oleh pengguna di laman sosial bagi penggemar alunan klasik.

Tari Tualang Tiga dendangan asal Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma itu turut menjadi ilham seorang pelukis daripada Angkatan Pelukis SeMalaysia menterjemahkan kehebatan wanita Melayu tanah air di atas kanvas bertajuk ‘Pahlawan Puteri’.

Bersesuaian dengan kandungan liriknya, ia banyak menyentuh kecergasan, ketangkasan, martabat budaya, dalam kesantunan dan kelembutan seorang wanita Melayu.

Pelukis berkenaan, Hayati Abdul Rashid, berkata di sebalik kanvas ‘Pahlawan Puteri’ yang disiapkan selama seminggu itu, lagu berkenaan banyak memberinya inspirasi dan idea untuk mengolah kehebatan dan kecantikan wanita Melayu.

Katanya, lukisan mempamerkan sosok wanita klasik itu khasnya untuk ditujukan kepada orang Jepun yang ingin mendekati dan melihat budaya orang Melayu di sini, lebih dekat.

“Saya sebenarnya sangat teruja ketika mendengar lagu Tari Tualang Tiga ini kerana, menunjukkan wanita Melayu bukan sahaja dilihat lemah lembut dan penuh kesantunan tetapi mempunyai kekuatan luar biasa yang mampu mendokong negara, keluarga malah syarikat-syarikat besar dan kecil dalam negara.

“Jadi, ini (Pahlawan Puteri) yang saya mahu tunjukkan kepada orang Jepun dalam promosi hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Variasi ketika Festival Malaysia–Jepun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, baru-baru ini.

Festival itu bersempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP40) adalah inisiatif awal untuk promosi pelancongan Malaysia-Jepun.

Pahlawan Puteri antara tiga hasil lukisan yang dipamerkan Hayati di festival berkenaan.

Beliau yang juga seorang peguam turut berpakaian persis seorang puteri Melayu lama menyerlahkan lagi budaya dan warisan negara pada festival berkenaan.

Lirik Tari Tualang Tiga

Menyusun tari ala tari, sembah diberi… sayup-sayup…
Cergas tangkas ala sayang, gerak dan geri… Hai sayup-sayup..
Menjunjung tinggi amboi tinggi, seni sejati… ha… ha… ha… ha…
Pusaka asli ala asli, hai ibu pertiwi… iya… iya… eh

Melenggang gaya ala gaya, gerak wanita… Sayup-sayup…
Dengan tari ala sayang, tualang tiga… Hai sayup-sayup…
Menjunjung tinggi amboi tinggi, seni budaya… ha… ha… ha… ha…
Dikenang bangsa ala bangsa, hai sepanjang masa… iya… iya… eh

Langkah serentak ala sajak, sama bergerak… Sayup-sayup…
Sigak gaya ala sayang, pendekar puteri…Hai sayup-sayup…
Bertepuk tangan amboi tangan, tanda berani… ha… ha… ha… ha…
Tiada gentar ala sayang, hai membela diri… iya… iya… eh

Author

Pilihan Editor