HomePendidikanKerjasama KPMC, UCMI bakal wujud jabatan kendalian mesin perubatan

Kerjasama KPMC, UCMI bakal wujud jabatan kendalian mesin perubatan

KAJANG: Tiga jabatan baharu bidang pengendalian mesin perubatan bakal diwujudkan bagi membantu mengatasi kekurangan pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan di hospital kerajaan dan swasta.

Tiga jabatan berkenaan iaitu, pengimejan dan diagnostik, bilik operasi pembedahan dan unit rawatan rapi (ICU) akan diwujudkan di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).

Syor itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Kajang Plaza (KPMC), Datuk Saroni Judi melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan UCMI.

Saroni berkata, UCMI dicadangkan sebagai pusat makmal jabatan berlesen manakala KPMC berperanan sebagai pengendali penyelidikan dan latihan mesin serta peralatan perubatan berteknologi tinggi.

“Saya cadangkan untuk wujudkan tiga jabatan ‘diagnostic and imaging’, yang menempatkan mesin program CT scan, MRI, X-ray, ini semua mesin ‘heavyweight’. Kemudian ‘operation theater’ dan ICU.

“Jadi, apabila mesin ini rosak, kos (membaiki) tinggi. Kita perlu ada golongan berkemahiran tinggi untuk dapat buat ‘trouble shooting’.

“Kita boleh bekerjasama untuk buat makmal, lesen di bawah UCMI, kita jadi akan jadi pengendali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU KPMC diwakilinya dan UCMI diwakili Naib Canselornya, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman di premis hospital berkenaan, di sini.

Sementara itu, Wan Mohd Azizi berkata, bersetuju dengan cadangan Saroni dan mahu memberi peluang kepada penuntut perubatan kejururawatan itu, khususnya kepada golongan asnaf menyertai bidang berkenaan.

“Ia program berkemahiran dan berimpak tinggi dalam bidang biomedik. Jadi, untuk anak belia yang mungkin syarat SPMnya agak kurang bagus, merekalah yang boleh diberi peluang dalam bidang pengendalian mesin ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor