HomeBeritaTun M sokong Najib henti bayaran Sulu tetapi....

Tun M sokong Najib henti bayaran Sulu tetapi….

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2013 untuk menghentikan bayaran penyerahan wilayah sebanyak RM5,300 setiap tahun kepada waris keturunan Kesultanan Sulu, susulan insiden serangan di Lahad Datu, Sabah.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu kenapa tidak membuat kajian menyeluruh serta membentangkan hasil dapatan kepada jemaah Kabinet untuk pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan.

“Saya dengar pada masa itu Najib buat kenyataan dia tidak akan bayar (bayaran penyerahan wilayah). Pada masa itu, saya cuma sokong dia saja. Dia yang buat keputusan.

“Tapi, saya diberitahu keputusan itu tidak dirujuk kepada Kabinet dan Dewan Rakyat (pada 2013) dan dia (seolah-olah) buat keputusan sendiri.

“Kita yang berjanji untuk bayar setiap tahun jumlah ini, jadi bila kita janji, kita kena tunai janji walaupun atas sebab serangan. Tetapi kita juga tak tahu serangan itu oleh keturunan Sultan Sulu atau orang lain.

“Jadi kita kena kaji dulu dan lepas itu sahkan yang menyerang itu adalah Kesultanan Sulu. Barulah kita boleh berhenti (bayar). Tapi ini tidak ada kajian, terus henti (bayar) saja.

“Sewajarnya kerajaan ketika itu mengkaji terlebih dulu keputusan menghentikan bayaran itu, termasuk mengesahkan pihak yang menyerang Sabah ketika itu memang dari keturunan kesultanan Sulu,” katanya ditemui selepas hadir menjadi panel pada program Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian anjuran PTTI di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, tindakan Najib menyebabkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terus membuat tuntutannya ke atas Sabah di mahkamah timbang tara antarabangsa hingga kini.

“Itu yang menyebabkan masalah kita hadapi sekarang. Sebelum ini tidak ada masalah. Tiap-tiap tahun kita bayar. Bila berhenti, maka mereka bawa kes ke mahkamah Sepanyol, tapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyol.

“Sebab dalam membuat hukuman (tuntutan), kedua-dua pihak mesti memberi pendapat dalam mempertahankan kedudukan mereka. Tapi ini dibuat keputusan sebelah saja. Jadi itu kita tak pernah bagi kuasa kepada mahkamah Sepanyol,” katanya.

Mengambil contoh isu Pulau Batu Putih, Dr Mahathir berkata, Malaysia bersetuju dengan pihak yang menuntut supaya isu tuntutan berkenaan dirujuk ke mahkamah.

Isu tuntutan pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu terus hangat diperkatakan susulan laporan media sebelum ini menyatakan aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris Kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia, selepas mereka diberi Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan Mahkamah Rayuan Paris sudah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Terdahulu, Najib mengingatkan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau pernah menggesa kerajaan menghentikan bayaran kepada waris Sultan Sulu susulan pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Najib berkongsi keratan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Henti bayar kerana langgar syarat, Dr Mahathir” pada 13 Mac 2013.

Author

Pilihan Editor