HomeHiburanAmy Search kini bergelar Datuk

Amy Search kini bergelar Datuk

MELAKA: Penyanyi rock tanah air, Amy Search dianugerahkan pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, menjadi satu-satunya pengiat seni yang menerima pingat itu sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi yang telah memberi anugerah ini. Ia anugerah terindah, sesuatu yang tidak pernah saya impikan selama ini.

“Sudah tentu ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Ali Rustam dan kerajaan negeri,” katanya ditemui pemberita selepas istiadat penganugerahn yang diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Bapa kepada pelakon Nabila Huda itu juga berkata anugerah berkenaan juga dianggap sebagai satu sokongan kepadanya dalam bidang seni yang diceburi lebih 40 tahun itu.

“Satu penghargaan juga kerana isteri saya (Norhasniza Hassan) merupakan orang Melaka dan saya sendiri sangat suka dengan seni reka bangunan di sini. Saya juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan Melaka pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Noraida Che Noh, 40, balu kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh berkata beliau tidak menyangka jasa dan pengorbanan suaminya yang terkorban dalam operasi menyelamat mangsa banjir terus dihargai hingga kini

Allahyarham Mohd Diya yang merupakan Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, meninggal dunia selepas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat di sini pada 20 Okt tahun lepas.

“Pingat yang diterima hari ini adalah anugerah tertinggi yang Allahyarham terima setakat ini dan ia akan menjadi pembakar semangat kepada anak-anak untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya yang mewakili Allahyarham Mohd Diya menerima pingat Bintang Gagah Perkasa (BGP).

Mengenai kehidupan bersama empat anak berusia 10 hingga 19 tahun selepas hampir setahun pemergian suaminya, Norida berkata beliau bersyukur kerana dikelilingi insan yang baik dan sering memudahkan urusan mereka termasuk pelajaran anak-anaknya.

“Anak-anak sudah dapat menerima pemergian abah mereka dan anak sulung kini melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang dalam jurusan automotif,” katanya yang kini mengambil upah mengasuh bayi bagi menambah pendapatan. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor