HomeHiburanFBI kembali ke konti radio, sertai ZAYAN

FBI kembali ke konti radio, sertai ZAYAN

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio dan pengacara terkenal, Faizal Ismail atau FBI kini kembali ke konti apabila menyertai radio ZAYAN dengan bergandingan bersama Mawi dan Anas Tahir selepas meninggalkan seketika dunia penyiaran radio.

Pengurus Kandungan ZAYAN, Wan Syahrul Amry berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Faizal ke dalam keluarga ZAYAN untuk berganding bersama Mawi dan Anas di ZAYAN Pagi.

“Dengan pengalaman yang dibawa oleh Faizal, peminat- peminat ZAYAN boleh terus menikmati segmen-segmen menarik termasuk ‘Sahabat ZAYAN Pagi’.

“Peminat kini diberi peluang untuk bertanya sebarang persoalan dan meluahkan perkara yang terbuku di hati untuk mendapatkan pandangan dan ulasan daripada Mawi, Anas dan Faizal Ismail,” katanya.

Awal bulan ini, Faizal, 46, hadir bagi menjalani sesi temu duga Tauliah Mengajar dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Bahagian Pengurusan Dakwah.

Temu duga itu adalah peringkat kedua selepas lulus ujian penilaian peringkat pertama secara berkomputer.

Sebelum ini, Faizal yang juga bekas penyampai radio Hot FM menyambung pengajian dalam bidang industri kreatif di peringkat Sarjana di Universiti Cardiff, UK pada Ogos 2019.

Penularan Covid-19 di sana memaksa semua pusat pengajian ditutup dan pembelajaran diteruskan secara dalam talian.

Sejak itu, Faizal mengambil keputusan pulang ke tanah air dan mula menyertai jemaah tabligh sejak 2020.

Mengulas lanjut, Wan Syahrul menambah, pihaknya juga berterima kasih kepada semua peminat ZAYAN atas sokongan mereka dan sentiasa berusaha untuk menawarkan kandungan terkini yang dekat di hati mereka.

Menerusi segmen‘ZAYAN Pagi, menceriakan waktu pagi para peminat bermula semalam, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi di ZAYAN.

Peminat juga boleh strim ZAYAN dan mendengarkan ZAYAN Pagi bersama Mawi, Anas dan Faizal Ismail menerusi aplikasi SYOK.

Author

Pilihan Editor