HomeHiburanFikry Ibrahim terkilan sambutan menjelang merdeka kurang meriah

Fikry Ibrahim terkilan sambutan menjelang merdeka kurang meriah

WANGSA MAJU: Artis tanah air, Fikry Ibrahim meluahkan isi hati apabila mengenangkan semangat kemerdekaan negara dalam kalangan masyarakat kian luntur.

Fikry, 28, berkata, jika dikenang peristiwa menyambut kemerdekaan lebih-lebih lagi menjelang tarikh paling bersejarah negara pada 31 Ogos, ketika di dalam tempoh persekolahan, pastinya ia disambut sangat meriah.

Bagaimanapun, pelakon, pengacara, dan pelawak itu mendapati senario itu semakin kurang dirai.

“Kebelakangan ini, menjelang nak sambut kemerdekaan, tapi (saya lihat) semangat kemerdekaan itu dah macam tak ada.

“Jika dulu kit kira detik nak merdeka, tak sabar nak sambut di sekolah, nak berarak, nyanyi lagu Jalur Gemilang, tetapi sekarang lama-lama hilang semangat jati diri itu,” katanya.

Fikry berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas mengendalikan Majlis Pelancaran Clix Malaysia, di sini.

Justeru, pelakon Hero Seorang Cinderella itu ingin membantu menyemarakkan semula semangat itu dengan berkongsi tentang sejarah menarik negara dalam setiap majlis pengacaraan yang dikendalikannya.

“Saya cuba kongsi, selitkan tentang sejarah dalam pengacara saya. Kita cuba tambah penceritaan sejarah yang boleh menarik minat pendengar,” katanya.

Ini kerana, katanya, rakyat perlu lebih mendalami dan memahami sejarah negara tanah air kerana percaya kita akan menjadi lebih baik daripada semalam.

“Kalau kita tak belajar daripada sejarah, kita ambil contoh ayat:

“Hard time create strong men, strong men create good time,
Good time create weak men,
Weak men create hard time,” katanya.

Sementara itu, Fikry juga tidak menolak jika dia diberi peluang untuk melakonkan watak seorang pahlawan.

“Saya sebenarnya menerima dengan baik jika diberi peluang melakonkan watak biografi ataupun yang melibatkan tentang sejarah.

“Sebab saya sukakan sejarah dan saya percaya sejarah itu sentiasa berulang,” katanya.

Fikry dipercayai sedang giat pasang badan untuk watak bagi projek terbaharunya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut projek pengambaran berkenaan kerana sudah terikat perjanjian.

Author

Pilihan Editor