HomeSukanIsu gaji pemain Sarawak United FC diketengah dalam mesyuarat Kabinet Negeri

Isu gaji pemain Sarawak United FC diketengah dalam mesyuarat Kabinet Negeri

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Isu beberapa pemain Sarawak United FC (SUFC) yang dilaporkan tidak menerima gaji selama empat bulan hingga tidak mampu membayar sewa rumah menyebabkan segelintir mereka diusir dari kediaman telah diketengahkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada Khamis, 25 Ogos.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil menekankan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri tidak senang mendengar masalah isu tunggakan gaji pemain bola sepak yang terlibat.

“Kita tidak mahu nama Sarawak tercemar dengan masalah begini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagi menangani permasalahan ini katanya beliau sendiri akan menemui presiden pasukan SUFC, Datuk Posa Majais serta pemain-pemain pasukan untuk mencari jalan penyelesaian isu ini.

“Saya berusaha untuk menyelasaikan masalah ini secepat mungkin kerana saya tidak mahu mereka yang telah berjuang demi Sarawak terpinggir… saya tidak gembira langsung mendengar berita ini,” tegasnya.

Beliau kesal dengan perkara itu serta menyifatkan secara peribadi bahawa
pengurusan pasukan bola sepak itu tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan kebajikan pekerja dengan tidak membayar gaji.

“Seperti kita bekerja di syarikat lain di mana kita akan menunggu gaji pada hujung bulan…Sekiranya gaji tidak dibayar, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati,” luahnya.

Sementara itu beliau memberi jaminan kerajaan Sarawak akan menghulurkan tangan bagi membela nasib pemain bola sepak yang teraniaya.

“Walaupun keadaan sukan bola sepak Sarawak agak tercorot, namun mereka merupakan atlet yang turut berjuang membawa nama Sarawak,” ujarnya.

Isu ini timbul baru-baru ini disahkan satu kenyataan dari Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung notis tuntutan gaji pasukan berkenaan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh pihak PFAM berhubung notis aduan SUFC yang menuntut tunggakan pada 24 Jun seterusnya notis susulan dikeluarkan pada 8 Julai.

Author

Pilihan Editor