KUALA LUMPUR: Sebuah kereta kebal yang rosak di susur Carcosa menghala ke KL Sentral kira-kira jam 10.27 pagi pada Jumaat menyebabkan jalan terhalang dan trafik menjadi sesak.
Insiden tersebut dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut ciapan KLCCC DBKL di Twitter, kejadian itu menyebabkan lorong jalan tengah tersebut terhalang dan trafik sesak.
“Renjer 01, 02, 05 dan 06 tiba di lokasi pada sekitar jam 10.49 pagi.
“Tidak lama kemudian, kereta kebal itu berjaya ditunda ke lokasi selamat. Kes selesai,” kata ciapan tersebut pada Jumaat.
Renjer 01, 02, 05 & 06 sampai di lokasi #kltu pic.twitter.com/jCtgG6tIvk
— KLCCC DBKL (@KLCCC_DBKL) August 26, 2022