HomeHiburanKonsert Billie Eilish hebat tetapi peminat hampa

Konsert Billie Eilish hebat tetapi peminat hampa

Oleh: SITI NS

BILLIE Eilish mengadakan persembahan pertamanya di Malaysia semalam. Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama abangnya, Finneas.

Bintang pop muda itu juga menyiarkan gambar di media sosial menunjukkan betapa dia sangat menantikan kunjungan pertamanya ke Malaysia.

Billie terkenal dengan liriknya yang realistik dan kehadiran pentas yang hebat. Billie membuat penampilan sulungnya di Malaysia yang ditunggu-tunggu peminatnya di sini sehinggakan peminat sanggup mula berbaris pada pukul 5 pagi hari semalam untuk mendapatkan tempat terbaik, lebih-lebih lagi pemegang tiket yang berdiri tanpa tempat duduk.

Kesemua mahu dapatkan tempat yang paling dekat dengan Billie Eilish yang dipuja-puja itu. Jikalau boleh, ingin memandang tepat ke dalam mata artis kesayangan mereka itu.

Melalui rakaman video di aplikasi TikTok yang tular, sekumpulan remaja sanggup bersengkang mata dan bergegas ke Stadium Nasional Bukit Jalil, seawal jam 4 pagi untuk beratur dan mengambil giliran.

Tetapi malangnya, ramai yang hadir hampa dengan penganjur konsert ‘Happier Than Ever’ tersebut kerana ‘bad management’ oleh pihak mereka.

Rata-rata peminat rasa kecewa apabila masuk sahaja ke dalam Stadium Bukit Jalil kerana kedudukan pentas yang sangat jauh sehingga ada peminat mengatakan di sosial media mereka bahawa Billie sudah menjadi bilis kerana tempat duduk yang sangat jauh daripada penonton.

Ditambah pula dengan skrin yang kecil dan juga terdapat khemah yang besar menghalang pemandangan peminat.

Mereka merasakan penganjur konsert Billie Eilish ini sangat menyedihkan lagi-lagi peminat datang awal pagi, makan, tidur dan menunggu dengan sangat lama di depan pintu masuk.

Mereka mengharapkan penganjur belajar cara menganjurkan konsert dari negara lain kerana perkara sebegini tidak pernah terjadi di negara luar.

Penulis sendiri merasakan sepatutnya konsert Billie Eilish ini diadakan di Axiata Arena yang lebih sesuai dijadikan tempat yang selesa untuk melangsungkan konsert dari mana-mana penghibur dalam atau luar negara.

Bagaimanapun, konsert pertama Billie berlangsung dengan jayanya malam semalam. Memulakan persembahan dengan lagu ‘Bury A Friend’, Billie yang tampil bersama abangnya, Finneas O’Connell dan pemain dram, Andrew Marshall memberi persembahan yang sangat bertenaga, membuat ‘adrenalin’ penonton mengalir laju.

Billie terus menghangatkan pentas dengan lagu-lagu di dalam album barunya yang dinyanyikan bersama peminat-peminat yang hadir dan mengakhiri konsert yang menakjubkan itu dengan lagu yang menjadi tajuk album jelajah dunianya, ‘Happier Than Ever’, dengan penuh emosi.

Author

Pilihan Editor